Saturday, 6 August 2011

Definisi Akhlak =)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi maha Penyayang



Definisi  Akhlak Islam boleh dilihat daripada perspektif ahli bahasa, ahli falsafah Islam dan tokoh-tokoh ulama’ al-Quran, al-Hadis dan Ahli Sufi.


Dari segi bahasa, menurut kamus al-Muhit, perkataan akhlak berasal daripada perkataan al-Khuluq yang bererti perangai, tabiat, maruah dan agama. Manakala dalam Lisan al-‘Arab Akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang telah menjadi tabiat dan merupakan suatu gambaran yang menunjukkan zahir dan batin seseorang.

            Daripada segi falsafah Islam pula, definisi akhlak mempunyai tiga maksud. Pertama, Syeikh Rashid Reda menjelaskan, akhlak ialah al-Aqli iaitu akal fikiran. Akal fikiran memancarkan akhlak. Ini dikaitkan apabila akal yang dipandu oleh wahyu sepeeti para nabi dan rasul dapat melahirkan akhlak yang terpuji. Kesimpulannya, akhlak terbentuk dalam kalangan makhluk yang memiliki akal sahaja. Sekiranya seseorang itu memandu akalnya dengan keimanan kepada Allah, dia dapat memiliki akhlak yang baik, tetapi sekiranya akalnya didorong dengan sifat-sifat yang tercela, dia dianggap memiliki akhlak yang buruk atau jahat.

            Seterusnya Ibnu Muskawaih salah seorang ahli falsafah Islam berpendapat, apabila akal berfikir secara spontan maka sifat akhlak pun demikian juga. Selaras dengan itulah, manusia selalu bertindak secara tidak dirancang seperti kadang-kala bersifat baik dan kadang-kadang bersifat jahat.

            Manakala menurut Imam al-Ghazali, akhlak adalah satu gambaran daripada keadaan dalam diri yang sudah sebati, daripadanya melahirkan tingkah laku yang mudah tercerna tanpa memerlukan perulangan. Hasil tersebut dikenali sebagai akhlak. Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, daripadanya terbentuk perbuatan yang mudah dan ia tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Apabila keadaan jiwa ini melahirkan perbuatan yang baik dan diterima oleh syarak dan akal, ia dikenali sebagai akhlak yang baik. Tetapi jika ia melahirkan perbuatan yang jahat, maka ia dikenali sebagai akhlak yang buruk. Oleh itu, akhlak menurut al-Ghazali bukan berbentuk suatu pengetahuan atau kebolehan melakukan sesuatu perbuatan, sebaliknya akhlak berpunca daripada jiwa yang mewujudkan tingkah laku seseorang. Ringkasnya, definisi konsep akhlak perlu mempunyai aspek-aspek berikut :

       i.        Aspek batin atau keadaan jiwa seseorang yang merupakan tenaga penggerak kepada pembentukan tingkah laku.
      ii.        Aspek luaran atau tingkah laku itu sendiri dilakukan bukan kerana tekanan emosi ataupun desakan-desakan daripada luar seperti paksaan dan sebagainya.
     iii.        Perbuatan-perbuatan tersebut perlu dilakukan secara berterusan sehingga menjadi kebiasaan dan sebati dalam diri seseorang.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...